Recent Posts

Monday, February 13, 2006

Yang Bengkok Tak Semestinya Tak Elok

Keputusan Malaysia untuk meneruskan pembinaan menggantikan Tambak Johor membuktikan bahawa Malaysia komited untuk menyelesaikan isu yang telah sekian lama berlarutan ini. Singapura dalam hal ini telah cuba melakukan beberapa tindakan bagi melengah-lengahkan pembinaan dengan menghantar nota bantahan pihak ketiga kepada Malaysia. Dalam hal ini, ketegasan Perdana Menteri Malaysia sekali lagi diperlihatkan dengan mengarahkan pembinaan jambatan diteruskan. Ini menepati prinsip asas undang-undang iaitu Malaysia berhak melaksanakan apa-apa maksud pembinaan jambatan di dalam kawasan kedaulatannya.
Pembinaan jambatan ini adalah sangat penting bagi memulihkan ekosistem Selat Tebrau yang telah terjejas teruk akibat tiada aliran air akibat sekatan Tambak Johor. Selain itu ia merupakan langkah strategik bagi membolehkan kapal-kapal dagang melalui Selat Tebrau dan secara tidak langsung akan meningkatkan potensi Pelabuhan Tanjung Pelepas bagi menyaingi Pelabuhan Singapura. Selain itu masalah kesesakan Tambak Johor yang kini sedang menampung lebih 60 juta pelawat setahun akan dapat diatasi.
Jambatan bengkok yang menghubungkan kedua-dua negara seolah-olah menggambarkan hubungan tersebut. Tapi bagi Malaysia, jambatan bengkok tidak semestinya tidak elok. Ketegasan Malaysia dalam meneruskan pembinaan jambatan bengkok ini merupakan bukti bahawa Malaysia serius dalam menyelesaikan isu-isu tertunggak dengan Singapura. Isu-isu tertunggak ini sebenarnya yang telah membengkokkan hubungan dua hala Malaysia-Singapura.

0 comments:

Post a Comment