Recent Posts

Friday, October 14, 2005

Selamat Berjaya Menjadi Guru Terlatih

Pendidikan merupakan teras kemajuan negara. Jatuh dan bangun sesebuah negara bergantung kepada kemampuan sesebuah negara untuk meneroka pengetahuan-pengetahuan baru di samping memanfaatkan pengetahuan-pengetahuan yang sedia ada. Oleh itu setiap negara berusaha memantapkan institusi pendidikan supaya rakyatnya berpengetahuan dan mampu memberikan sumbangan yang signifikan terhadap kemajuan negara.
Dalam belanjawan 2006 misalnya kerajaan Malaysia telah memperuntukkan sejumlah wang yang besar bagi memantapkan lagi sektor pendidikan negara.Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika membentangkan Bajet 2006 di Parlimen mengumumkan peruntukan sebanyak RM29 bilion atau satu perlima daripada peruntukkan Bajet 2006 untuk sektor pendidikan dan latihan.Peruntukan yang besar ini membuktikan bahawa kerajaan begitu komited terhadap bidang pendidikan. Aspirasi kerajaan ini seharusnya dikongsi bersama-sama oleh semua pihak. Sebagai guru-guru pelatih yang bakal menjadi tulang belakang pendidikan negara maka kita perlu bersama-sama mendokong aspirasi tersebut. Buktikan kepada semua bahawa kita akan berjaya menjadi seorang guru pada tahun 2006 supaya setiap wang rakyat yang diperuntukkan bagi menghasilkan guru-guru yang terlatih mendapat pulangan yang sewajarnya.
Kepada rakan-rakan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) IPDA, kita akan bersama-sama menempuh peperiksaan akhir pada 8 hingga 10 November 2005. Selamat berjaya dan semoga kita semua akan bergelar seorang guru terlatih pada tahun hadapan.

0 comments:

Post a Comment