Recent Posts

Monday, September 26, 2005

Akuakultur dan Ikan Hiasan

Akuakultur secara amnya bermaksud pemeliharaan atau pengurusan sumber akuatik untuk tujuan komersial (Huet, 1976). Industri akuakultur boleh dibahagikan kepada dua sektor utama iaitu penternakan ikan untuk makanan dan ikan hiasan. Bagi kebanyakan negara seperti China dan Jepun, industri akuakultur lebih tertumpu kepada penghasilan ikan makanan. Namun di beberapa buah negara ia lebih menjurus kepada industri ikan hiasan. Di Singapura misalnya 40% daripada hasil eksport adalah ikan hiasan. Di Amerika, ikan hiasan merupakan hasil keempat terbesar selepas keli, trout dan salmon (Tlusty, 2002).

Kebanyakan produk akuakultur bagi industri ikan hiasan ialah spesies air tawar. Dianggarkan 90% daripada produk tersebut dibiakkan di dalam kurungan. Negeri Florida misalnya menghasilkan 800 jenis ikan air tawar dengan anggaran harga sebanyak $US30 hingga $60 sepaun. (Tlusty, 2002).

Ikan hiasan sentiasa diminati oleh masyarakat. Statistik oleh Pet Industry Joint Advisory Council atau PIJAC pada tahun 1997 menunjukkan bahawa di US sahaja terdapat 9.4 juta isi rumah atau 10% daripada jumlah populasi penduduk US memelihara ikan hiasan air tawar dan tambahan sebanyak 0.6 juta isi rumah memelihara ikan hiasan air masin (PIJAC, 1997 (dipetik daripada Lewbart et al., 1999)). Ini menunjukkan minat serius masyarakat moden terhadap ikan hiasan. Perkembangan minat masyarakat terhadap ikan hiasan akan menjadi lebih berkesan sekiranya kos penyelenggaran semasa pemeliharaan dapat dikurangkan. Ini kerana harga makanan ikan hiasan adalah 10-60 kali lebih tinggi daripada harga makanan spesies akuakultur yang lain (Tamaru & Ako, 1997).

Teknik pembiakbakaan dan penjagaan ikan hiasan sentiasa dipertingkatkan bagi menjamin bekalan ikan hiasan yang stabil dan bermutu tinggi. Pengkulturan ikan hiasan merupakan teknik terbaik bagi memastikan permintaan sentiasa dapat dipenuhi. Pengumpulan spesies dari habitat semulajadi bukan sahaja sukar bahkan memberi kesan negatif kepada alam sekitar dalam jangkamasa panjang.

0 comments:

Post a Comment