Recent Posts

Monday, September 19, 2005

Penempatan Tempat Mengajar: Antara Impian dan Harapan

Selepas berakhirnya praktikum pelatih-pelatih guru seperti saya kembali ke maktab dan institut perguruan masing-masing. Banyak pengalaman manis telah dilalui dan kini dikongsi bersama-sama rakan-rakan guru pelatih serta pensyarah. Masing-masing menunjukkan hadiah dan penghargaan daripada pelajar-pelajar serta pihak sekolah. Hadiah-hadiah istimewa ini kesemuanya sangat dihargai oleh para guru pelatih kerana hadiah-hadiah ini menunjukkan bahawa kehadiran mereka dihargai oleh pelajar dan pihak sekolah.
Apabila kembali ke maktab, topik baru muncul dan menjadi bualan pelatih-pelatih guru. Topik istimewa ini adalah berkenaan dengan penempatan mengajar kelak. Masing-masing menyatakan harapan dan impian. Ada yang ingin pulang ke kampung halaman dan mengajar di sekolah berhampiran. Ada yang memasang cita-cita untuk mengajar di ibu kota bagi merasai cabaran hidup di dalam masyarakat yang serba moden. Ada juga yang ingin mencuba untuk mengajar di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak kerana tertarik dengan adat dan cara hidup masyarakat di sana. Yang uniknya ialah kebanyakan daripada guru pelatih sangat setuju sekiranya dapat ditempatkan semula di sekolah tempat mereka menjalani praktikum kerana telah mengenali hati budi pentadbir sekolah, rakan-rakan guru serta pelajar-pelajar.
Walau apa pun harapan dan impian, kesemuanya adalah tertakluk kepada budi bicara dan kekosongan yang ditentukan oleh Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia. Masing-masing tidak terlalu menaruh harapan yang tinggi namun jauh di sudut hati berharap mendapat sesuatu yang terbaik buat diri masing-masing.
Alangkah indahnya sekiranya dapat kembali mengajar di sekolah tempat menjalani praktikum atau dapat mengajar di sekolah berhampiran kampung halaman tercinta.

0 comments:

Post a Comment