Recent Posts

Wednesday, September 20, 2006

Kesedaran Minda

Pada 5 September 2006, saya telah bertemu dengan seorang tokoh pendidik dalam satu pertemuan rasmi berkaitan dengan perkhidmatan perguruan. Pertemuan selama 40 minit dengan beliau telah benar-benar mengubah persepsi dan tanggapan saya terhadap para pelajar sekolah setelah mendengar pandangan daripada beliau.

Jika selama ini saya menganggap di sekolah terdapat pelbagai kategori pelajar seperti pelajar pintar, pelajar lulus dan pelajar gagal, maka sebenarnya pandangan itu adalah salah dan bersifat pesimis.

Seorang guru terutamanya guru muda seperti saya perlu mengubah paradigma di atas dan perlu menganggap bahawa semua pelajar mempunyai potensi untuk berjaya. Pada bahu guru tugas untuk mengembangkan potensi para pelajar sehingga mereka benar-benar mampu menguasai ilmu pengetahuan terutamanya perkara-perkara asas yang berkaitan seperti kemahiran 3M.

Jika di sekolah masih terdapat pelajar yang gagal menguasai 3M, maka kegagalan pelajar tersebut adalah kegagalan guru kecualilah pelajar tersebut mengalami masalah kesihatan seperti autisme atau komplikasi mental yang lain.

Kini saya sedar dan mengubah persepsi saya terhadap pelajar dan akan berusaha bersungguh-sungguh selagi terdaya bagi memastikan para pelajar saya berjaya dalam perjalanan untuk menimba ilmu pengetahuan.

0 comments:

Post a Comment